Dec 16, 2008

Asal Usul Nama Ayat Seribu Dinar

Salam

Bila dan siapakah yang mula-mula menggelarkan bahagian ayat al-Quran tersebut sebagai ayat `seribu dinar'?

Apakah hukum orang Islam yang percaya bahawa Allah akan memberi rezeki kepada sesiapa yang rajin membaca ayat tersebut?


وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم


{ بسم الله الرحمن الرحيم }


(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih di atas soalan saudara . Ayat yang digelar “ Seribu Dinar “ itu ialah ayat 2 & 3 , daripada Surah At-Talaq , yang isinya ialah :


.....وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا {2} وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا


Ertinya : …… Barangsiapa yg bertaqwa kepada Allah, Nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki dari arah yg tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yg bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya) . Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.


Quote:
Bila dan siapakah yang mula-mula menggelarkan bahagian ayat al-Quran tersebut sebagai ayat `seribu dinar'?


Jawapan : Kami masih belum menerima sebarang rekod yang sahih yang menyatakan bilakah dan siapakah yang menggelar ayat tersebut sebagai “ Ayat 1000 Dinar “ . Lagipun yang penting bukanlah nama ataupun gelaran , kerana yang paling penting untuk dinilaikan ialah apakah isinya , pengajaran-pengajarannya , dan yang berkaitan dengannya .

Isi-isinya yang mengajarkan kita agar terus-menerus bertaqwa dan bertawakkal ( doa + usaha = tawwakal ) itulah yang paling penting kita jadikan “ pembakar semangat kita “ .

Orang-orang Jepun menjadikan semangat “ Samurai “ ( Bushido ) sebagai motivasi kerja dan kehidupan mereka . Orang-orang Cina pula , ada yang menjadikan “ Art Of War “ ( oleh Pendita Sun Tzu ) sebagai motivasi mereka . Tapi sayang seribu kali sayang , orang-orang Islam hanya sibuk dengan “ mitos “ Ayat 1000 Dinar tanpa mahu mempraktikkan isi-isi pengajaran ayat tersebut ! .


Quote:
Apakah hukum orang Islam yang percaya bahawa Allah akan memberi rezeki kepada sesiapa yang rajin membaca ayat tersebut?


Rezeki apakah yang dimaksudkan , walhal rezeki itu sendiri ada berbagai rupa dan jenis ? . Ya ! kalau dianggap Allah Ta’ala akan memberi rezeki berbentuk PAHALA kerana ayat itu sering dibaca , maka itu tidak dapat dimungkiri lagi kerana , membaca ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim merupakan satu ibadah yang dijanjikan ganjarannya oleh Allah Ta’ala .

Kalau diertikan rezeki itu ialah KETENANGAN JIWA , maka itu pun boleh diterima , kerana berzikir @ berwirid dengan ayat-ayat suci sudah tentu boleh menyucikan hati dan mendatangkan ketenangan . Begitulah juga jika diamalkan zikir-zikir lain yang ma’tsur ( bersumber daripada sunnah Baginda Rasulullah s.a.w ) .

Kalau diertikan rezeki itu pula sebagai KEPUTUSAN YANG MENGGEMBIRAKAN SESEORANG MUSLIM yang sedang menghadapi sesuatu permasalahan , maka ini pun tidak bertentangan dengan isi kandungan ayat tersebut .

Adapun yang selain daripada itu , maka itu semua adalah PETUA semata-mata . Petua yang dimaksudkan di sini ialah hasil pengalaman yang ditempuh oleh beberapa orang-orang soleh yang beramal dengan ayat tersebut dan ianya “ menjadi “ . Dan kebanyakan petua-petua yang dihubungkan dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran , hadis-hadis , wirid-wirid dan seumpamanya adalah datang dengan cara ini ( pengalaman dan percubaan serta latihan ) .

Petua seperti itu hanyalah pengalaman , percubaan dan latihan . Akan tetapi ialah bukanlah satu sumber perundangan Islam sehingga boleh pula seorang Islam itu mengatakan “ kita mesti baca begini dan beramal pula dengan cara begini “ yang dikaitkan pula dengan unsur-unsur kebatinan dan mitos !! .

Seperti juga seorang yang membaca Surah Al-Fil ( Alam Tara Kaifa Fa’ala Rabbuka …. ) sebelum tidur . Melalui petua dan pengalaman beberapa orang soleh yang beramal dengannya , ayat tersebut ( dengan izin Allah Ta’ala ) boleh menghalang makhluk yang jahat daripada mendekati rumah si pembacanya - - - > Maka , ini pun adalah petua , bukannya ianya betul-betul SUNNAH sehingga kita pula percaya yang Baginda Rasulullah s.a.w mengajarkan kita membacanya sebelum tidur !! .

‘Ala kulli hal ( walau bagaimana pun ) , tidak semua petua yang diwarisi itu adalah SUNNAH , dan tidak pula semua petua itu adalah BID’AH . Semuanya itu perlu dinilai menurut neraca yang meyakinkan , iaitu Al-Quran Al-Karim dan Sunnah yang sahih .

Kami mempersilakan saudara menambah kefahaman saudara mengenai masalah ini dengan merujuk jawapan yang agak baik , yang telah pun diberikan oleh Al-Fadhil Ustaz thtl : SJ-1674: Ayat seribu dinar


Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

**************************************

و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

19 / Syawal / 1423 H
24 / Disember / 2002 M

1 comments:

Hadi said...

Mempercayai surah tertentu mempunyai fadhilat khasiat tertentu adalah batil.amalan rekaan yg tidak diajar nabi sahabat dan salafuussoleh dan 4 umam mazhab..

Post a Comment