Sep 19, 2011

Parti Salafi Aktor Politik Baru Mesir

Dr Emad Abdel Ghafour, Presiden Parti Nour

Pada Pilihanraya umum (PRU) Mesir untuk memilih anggota parlimennya yang lepas, Hizb al-Nour (Parti Nour) telah berjaya mendapat hampir 25% daripada kerusi parlimen dan juga lebih satu pertiga dari undi popular. Parti Nour telah menjadi front untuk gabungan tiga parti lain beraliran Salafiyah, iaitu parti Asalah, parti Fadilah dan Parti Tanmiyah wa Salamah. Hasil dari kemenangan mereka, kini parlimen Mesir dipenuhi oleh anggota parlimen yang berjanggut panjang, berseluar senteng dan juga melaungkan azan di dalam parlimen.

Fenomena kemenangan golongan beraliran Salafi melalui Parti Nour telah mengejutkan ramai pihak. Samada penganalisis politik di dalam Mesir mahupun di peringkat antarabangsa, hampir semuanya tidak menjangkakan kemunculan aktor baru itu dalam arena politik Mesir. Lebih mereka tidak jangkakan, ialah golongan Salafiyah yang selama ini mengharamkan sistem demokrasi, mengharamkan sistem pilihanraya dan juga memandang sinis kepada politik itu telah menjadi parti kedua meraih undi terbanyak lewat PRU lalu selepas parti Hurriyah wal ‘Adalah (FJP) milik kumpulan Ikhwanul Muslimun (IM). Kumunculan golongan Salafiyyah yang sering dilabel sebagai ultra-konservatif oleh media-media barat telah menyebabkan parti FJP milik IM dinobatkan sebagai golongan Islamis moderat, walaupun dulunya IMlah yang dulunya sering mendapat pelbagai gelaran berbau radikal dan ekstremisme.

Siapakah golongan Salafi ini? Apakah susur galur mereka? Apakah perbezaan mereka dengan Ikhwanul Muslimun? Apakah motivasi yang mendorong mereka untuk menceburkan diri ke dalam lapangan politik?

Salafiyyah di Mesir

Gelaran Salafiyah sebagai sebuah manhaj dan fikrah boleh ditelusuri akarnya sehingga di zaman Rashid Redha yang merupakan anak murid kepada Muhammad Abduh dan Jamaludin al-Afghani. Jika kedua-dua guru beliau telah melancarkan gerakan islah (reformasi) dan tajdid melalui fikrah Pan-Islamisme yang menyeru agar umat Islam bangkit dari kelemahan dan kejumudan mereka, Redha pula telah menguatkan lagi seruan tersebut dengan gerakan Salafiyyahnya. Walau bagaimanapun, Salafiyyah yang dimaksudkan oleh Redha agak berbeza dengan arus Salafiyah yang ada di Mesir hari ini. Meskipun Redha menyeru agar umat Islam kembali kepada akidah dan manhaj Salafussoleh di dalam cara mereka beragama, namun beliau juga menyeru kepada penggunaan rasional dan ilmu sains moden. Gerakan Redha kemudian diteruskan oleh anak muridnya Hasan al-Banna yang telah menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin yang berorientasikan politik dan bertujuan untuk merubah keadaan umat Islam kepada kebangkitan Islam di dalam segenap kehidupan kaum Muslimin. Di satu sudut lain pula, anak murinya Abdul Hamid al-Fiqqi pula meneruskan perjuangan Redha dengan cara tradisionalis dan telah menubuhkan gerakan Ansarus Sunnah yang lebih bersikap tidak menyikapi politik dan hanya menumpukan kepada misi melawan bid’ah dan syirik di kalangan masyarakat Mesir.

Walau bagaimanapun, gerakan Salafiyyah ala-Redha ini tiada hubungan secara langsung dengan kemunculan parti Nour secara langsung. Parti al-Nour merupakan parti yang telah ditubuhkan oleh golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Madarasah Salafiyyah’ dan kemudiannya ditukar nama kepada ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ yang berpusat di Iskandariah, Mesir. Golongan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ ini merupakan pecahan dari sebuah gerakan islam di universiti-universiti Mesir yang popular di tahun-tahun 70’an bernama ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’. Gerakan Islam yang diasaskan oleh Dr Abdel Monem Abul Futouh seawal 1971 itu telah menjadi sebuah gerakan Islam pelajar yang mendominasi seluruh universiti-universiti di Mesir, terutamanya di fakulti-fakulti perubatan dan juga Universiti Iskandariah. ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ muncul mengisikan vakum yang telah ditinggalkan oleh gerakan Ikhwanul Muslimun yang pada waktu itu mengalami kelumpuhan akibat para pemimpin dan pengikut mereka dipenjarakan, disiksa dan dibunuh oleh Rejim Jamal Abdel Naser. Walaupun gerakan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ berpusat di unversiti-unversiti, namun pengaruh mereka begitu kuat terutamanya sewaktu zaman peperangan di antara Mesir dan Israel pada tahun 70’an. Kemuncak kegemilangan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ seperti yang diperkatakan oleh para ahli sejarah gerakan Islam moden di Mesir ialah apabila pemimpin mereka, Abdel Monem Abul Futouh telah dipanggil untuk bertemu dengan presiden Anwar Sadat dan telah berdebat dengan presiden tersebut secara langsung di kaca televisyen.

Malangnya, hayat ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ sebagai sebuah pertubuhan gerakan Islam pelajar moderat tidak panjang. Pada penghujung 70’an apabila para pimpinan mereka telah mula berhubung dengan pihak IM, terdapat segelintir di antara kader-kader mereka yang merasa tidak selesa dengan fikrah dan cara IM bergerak. Bagi anggota ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ yang telah berjaya menerima doktrin dari Arab Saudi yang telah menaja mereka untuk menziarahi negara tersebut akhirnya lebih cenderung kepada pendekatan Salafiyah versi Wahabiyah Arab Saudi. Akhirnya golongan yang berorientasikan Salafiyyah ini telah menentang keputusan para pimpinan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ yang mengambil sikap untuk bergabung dengan IM. Natijahnya, gerakan ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ telah terpecah kepada tiga kumpulan utama: majoriti kepimpinan dan anggota mereka memilih untuk menggangotai IM; sebahagian mereka yang cenderung dengan pendekatan Salafiyah pula memilih untuk menubuhkan gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ yang berpusat di Iskandariyah; manakala segelintir kecil dari kalangan mereka pula telah mengekalkan nama ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’ dan mengambil pendekatan ekstrimise dan keganasan. Kumpulan ketiga ini kemudiannya telah muncul sebagai pertubuhan pengganas ‘Tanzem al-Jihad al-Islami’ (Jihad Islami) yang akhirnya telah menyebabkan kemunculan pertubuhan al-Qaedah melalui salah seorang ideolog mereka, Dr Abu Aiman al-Dhawahiri.

Kumpulan radikal Tanzem al-Jihad al-Islami inilah yang telah menyebabkan pembunuhan presiden Anwar Sadat dan menyebabkan penangkapan sebilangan besar anggota ‘al-Gamaah al-Islamiyyah’, termasuk mereka yang memasuki IM dan juga golongan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’. Walau bagaimanapun selepas Husni Mubarak menjadi presiden, beliau telah membebaskan sebilangan besar mereka secara beransur-ansur. Bagi golongan radikal Tanzem al-Jihad al-Islami, sebahagian mereka telah memilih untuk ke Afghanistan dan berjihad di sana, manakala sebahagian dari mereka yang kekal di Mesir, terutamanya di daerah Al-Suyut dan Aswan telah mula mengembangkan gerakan mereka secara rahsia dan akhirnya telah melancarkan serangan-serangan ganas ke atas pihak kerajaan, para pelancong dan juga kepentingan awam demi menegakkan ‘Dawlah Islamiyah’ (negara Islam) yang mereka impikan. Manakala yang terlibat dengan IM, mereka akhirnya telah menjadi para pimpinan generasi baru IM, seperti Abdel Monem Abul Futouh, Essam Eryan, Ibrahim al-Za’farani, Hilmi Jazzar dan lain-lain lagi. Manakala kumpulan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ pula telah kembali ke Iskandariyah untuk meneruskan usaha dakwah mereka melalui gerakerja organisasi yang lebih tersusun.

‘al-Dakwah al-Salafiyyah’

Di zaman presiden Husni Mubarak, gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ telah berkembang dengan pesat di seluruh Mesir hasil dari usaha tidak jemu para ulama dan pendakwah mereka. Gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ yang pada mulanya berpusat di Iskandariyah telah mula berkembang ke kawasan-kawasan lain di negara tersebut hasil kepulangan beberapa pendakwah dan ulama mereka dari Arab Saudi dan Jordan. Dakwah golongan Salafiyah secara umum juga menjadi semakin rancak dengan kemunculan stesyen televisyen satelit. Pihak Salafiyyah telah memiliki lebih kurang 12 stesyen televisyen satelit yang menjadi pilihan golongan awam dan juga golongan beragama di Mesir. Hasilnya para pendakwah Salafiyah menjadi begitu popular, terutamanya para pendakwah mereka yang berada di Kaherah yang sering menghiasi rancangan ceramah dan talk-show di stesyen-stesyen berkenaan. Fikrah Salafiyah yang dahulunya begitu ditakuti dan dimomokkan dengan gelaran ‘Wahabi’ dan sesat oleh para ulama al-Azhar akhirnya menjadi popular di kalangan warga awam Mesir. Persepsi rakyat terhadap para ulama Azhar yang dilihat umum menjadi alat dan ejen rejim Mubarak juga telah menyebabkan rakyat awam cuba mencari rujukan para ulama bukan kerajaan yang lebih berani dan tegas. Persepsi ini akhirnya telah menjadikan para ulama Salafiyah semakin popular.

Perlu diingat, bukan kesemua golongan pendakwah dari aliran Salafiyah di Mesir merupakan anggota gerakan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’. Mereka terbahagi kepada beberapa kumpulan berdasarkan fikrah ulama dan pendakwah yang mereka ikuti. Namun, ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ tetap menjadi kumpulan yang paling popular dan kumpulan yang paling dominan. Kumpulan inilah yang kemudiannya telah mengambil keputusan untuk menubuhkan parti Nour. Ada pihak yang cuba mengaitkan populariti golongan Salafiyah dengan rejim Mubarak. Teori konspirasi itu mengatakan bahawa mereka sengaja dibiarkan berkembang oleh rejim Mubarak untuk menyaingi pengaruh kumpulan IM. Tuduhan tersebut ternyata meleset kerana kebanyakan ulama dan pendakwah ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ terutamanya telah menjadi mangsa tahanan tanpa bicara rejim Mubarak hatta di saat-saat akhir pemerintahan rejim berkenaan.

Apa yang pasti, walaupun kumpulan tersebut tidak bersetuju dengan rejim dan mengambil sikap anti-rejim Mubarak, namun mereka tidak pula terlibat dengan politik. Berbanding dengan kumpulan Salafi al-Madkhaliyun pro-Saudi yang mengatakan wajib bagi umat Islam mentaati pemimpin walaupun pemimpin diktator yang zalim dan membunuh rakyat sendiri, golongan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ lebih terkenal dengan kritikan tajam mereka terhadap kerajaan dan juga sikap anti-kerajaan mereka semenjak awal penubuhannya lagi. Sungguh yang demikian, sepertimana gerakan Salafi lain di seluruh dunia, kumpulan ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ tidak pula menyertai politik dan berpendapat bahawa demokrasi adalah haram, manakala pilihanraya dan sistem parlimen yang menurut mereka adalah perbuatan tidak berhukum dengan hukum Allah. Mereka juga mengharamkan demonstrasi sebelum revolusi dan semasa revolusi yang mereka sifatkan sebagai perbuatan yang membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Revolusi 25 Januari dan Salafiyah

Walau bagaimanapun kejayaan revolusi 25 Januari di Mesir telah banyak mengubah hala tuju kumpulan tersebut. Memang pada awal revolusi para ulama ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ mengambil sikap mengharamkan penyertaan anggota mereka menyertainya. Namun setelah salah seorang ulama mereka ditangkap oleh pihak rejim dan dibunuh di dalam tahanan, sesetengah pendakwah mereka telah mengambil sikap menyeru para pemuda ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ untuk terlibat di dalam tunjuk perasaan di Medan Tahrir yang telah membawa kepada kejatuhan Presiden Mubarak pada 11 Februari 2011. Malah, segelintir golongan Salafiyyah telah bersikap pro-aktif dengan terlibat bersama para doctor perubatan lain untuk menyediakan klinik bergerak di Medan Tahrir untuk merawat para penunjuk perasaan yang tercedera akibat serangan pihak keselamatan rejim Mubarak. Para pendakwah dan ulama mereka juga telah mula membanjiri medan Tahrir sehingga ke detik-detik terakhir walaupun agak lewat.

Selepas revolusi, ketika rakyat melihat peluang mereka untuk memerintah Mesir secara demokrasi dan bebas buat pertama kalinya, para pendakwah dan ulama ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’ telah terdorong untuk mengambil sikap pro-aktif. Melalui wawancara saya bersama ideolog ‘al-Dakwah al-Salafiyyah’, Dr Yaser Borhami dan juga presiden Parti Nour, Dr Emad Abdel Ghafour, mereka memberitahu bahawa golongan muda dari gerakan tersebutlah yang telah mendesak agar para ulama mereka menimbangkan ide penubuhan sebuah parti politik Salafi. Logiknya, perlembagaan Mesir dengan jelas menyatakan pada artikel dua mereka bahawa Syariah merupakan satu-satunya rujukan utama perlembagaan, dan ini menunjukkan bahawa sistem parlimen dan perlembagaan mereka adalah Islam dan tidak menyalahi Syarak. Tambah mereka lagi, jika mereka biarkan ruang politik hanya kepada IM dan juga golongan sekular dan liberal, ditakuti artikel dua tersebut tidak akan terjamin. Mereka juga melihat bahawa pengaruh dakwah Salafi yang semakin hebat dan berkembang di seluruh Mesir menuntut golongan Salafi untuk mengisikan kekosongan di dalam bidang politik dan pemerintahan.

2 comments:

Anonymous said...

Bukankah dahulu salafy selalu berkata bahawa partai itu bid'ah, kenapa sekarang berbuat bid'ah.

Anonymous said...

UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT/UT

Post a Comment