Jan 13, 2009

Satanic Verses

Salam
Bagaimanakah ungkapan ini boleh keluar? Apakah sejarahnya dan kaitannya dgn surah Sūra Al-Najm (Q.53)? Moga2 Panelist dpt memberikan jawapan yg jelas.
Wassalam
-----

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-Allah.

Asal cerita ini merupakan tuduhan orientalis terhadap Nabi saw. Dikata Nabi saw merasa gusar masyarakat Arab Jahiliyah telah menjauhi beliau pada masa itu. Dalam keadaan kegusaran ini, pada suatu hari baginda telah pergi ke Kaabah dan membaca hadapan orang mukmin dan kaum musyrikin Surah Al-Najm yang dikatakan telah diturunkan.

Baginda telah membaca ayat 19-20 :

أَفَرَأَيْتُمُ اللَّاتَ وَالْعُزَّى. وَمَنَاةَ الثَّالِثَةَ الْأُخْرَى.
(Setelah kamu wahai kaum musyrik Mekah mendengar keterangan yang membuktikan kekuasaan dan keagungan Allah) maka adakah kamu nampak bahawa "Al-Laat" dan "Al-Uzza"; Serta "Manaat" yang ketiga, yang bertaraf rendah lagi hina itu (layak disembah dan dianggap sebagai anak-anak perempuan Allah)?

Dikatakan setelah membaca ayat tersebut, Syaitan telah membisikkan ayat (Satanic verse) berikut :

تلك الغرنيق العلى ، و إن شفاعتهن لترتجى
"Itu adalah al-Gharaniq (seperti burung bangau) tertinggi, dan sesungguhnya Syafaatnya yang diharapkan"

Nabi saw dikatakan telah menghabiskan surah tersebut, dan pada ayat terakhir baginda telah sujud. Lalu kesemua orang-orang beriman dan musyrikin, serta pemimpin Quraish telah sujud sama, kecuali al-Walid al-Mughirah. Mereka mengatakan bahawa Muhammad saw telah mengiktiraf tuhan-tuhan mereka sebagai perantara dengan Allah; iaitu boleh memberi syafaat.

Setelah itu pada petangnya, Jibril as. telah datang dan menyuruh Nabi saw membaca kembali, termasuklah baginda mengulangi ayat-ayat 'syaitan' itu, maka Jibril pun protes mengatakan bahawa beliau tidak membawa ayat tersebut. Maka ayat tersebut tidak dibaca lagi, dan orang-orang Quraish (musyrikin) telah marahlah kembali kepada Nabi saw.

----------------------------------
Kisah dan Ayat tersebut di ketengahkan oleh puak Orientalis yang dikatakan terdapat didalam Tarikh Al-Tabari: Tarikh Al-Umam wal-Muluk. Walaubagainanapun, al-Tabari telah menyatakan pada awal-awal lagi bahawa jika beliau menyebut mengenai seseorang dimasa lalu, jika pembaca atau pendengar mendapati ia bertentangan atau tidak mendapat kebenaran atau tiada dalil keatasnya, maka ketahuilah bahawa ia bukanlah ada kaitan dengan beliau, akan tetapi diriwayatkankan kepada beliau dan beliau hanya sampaikan kepadanya sebagaimana disampaikan kepada beliau.

Ibn Kathir didalam Tafsir mengatakan bahawa ayat 'syaitan' yang menyebut al-Gharaniq sanadnya tidak sahih, semuanya mursal dan terputus. Beliau mengatakan : Aku tidak nampak sanadnya dari sudut yang Sahih. Ibn al-Arabi mengatakan bahawa riwayat ini terbatal, kerana tidak ada asalnya. Qadi Iyad (al-Syifa') menolak peristiwa ini berdasar 2 sebab utama :-

a. Ia bertentangan dengan aqidah, dimana Nabi saw adalah maksum, beliau tidak boleh dipedaya oleh Syaitan

b. Sanadnya terputus.

Imam Fakhr Ad-Din Ar-Razi mengatakan bahawa ia bertentangan sekali dengan dalil al-Quran. 3 point utama yang menolak penambahan ayat Syaitan ini :-

a. Tidak pernah semasa al-Quran itu diturunkan diganggu oleh Syaitan.

b. Nabi saw tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pemimpin Quraish.

c. Nabi saw tidak pernah menambah atau mengurang satu ayat pun dari al-Quran.

Orang Kristian telah menggunakan isu ini sebagai membenarkan kepalsuan yang dkenakan keatas Nabi saw, yang dikatakan maksum. Malah pada tahun 80an, Salman Rushdie telah mempopularkan "Satanic verse" yang beliau sendiri mendapat idea dari sumber Kristian. Pihak Missionari amat gembira mengedarkan buku tersebut, dimana mereka sudah pasti tidak akan lepaskan peluang untuk menyerang Islam.

Ternyata, periwayatan2 palsu ini dapat dikesan oleh pakar2 hadith dan mufassirin, dan terbukti bahawa ia sangat bertentangan dengan prinsip al-Quran itu sendiri. WA.

Sekian, wassalam

0 comments:

Post a Comment