Jan 21, 2009

Al Quran Para Sahabat Dan Sains

Salam

Sekadar ingin tahu, adakah terdapat mana2 riwayat di mana para sahabat, di samping ber'aqidahkan 'wa sami'na wa ato'na', pernah bertanya Rasulullah saw ttg makna/tafsir ayat2 AQ yg mengandungi fakta2 sains yg hanya mampu dibuktikan berabad2 lamanya selepas mereka spt keunikan cap jari (AQ 75:34); pengembangan alam semesta (AQ 51:47), wormhole, embriology dsb?
Jika ada kedapatan dalil sedemikian, bagaimanakah hikmah jawapan yg ditunjukkan oleh Nabi saw? Yellow Question

****************
kamin

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, Insya-Allah.

Sains berkembang mengikut suasana sesuatu zaman. Kebanyakkan penemuan sains yang terdapat didalam al-Quran berlaku setelah 1400 tahun ianya diturunkan. Jangkamasa skop al-Quran adalah dari zaman Nabi Muhammad saw sehinggalah tamatnya dunia ini. Sudah tentu dalam skop kelimuan al-Quran yang begitu luas, tidak mungkin semua perkara dapat dibuktikan oleh sains. Malah fakta-fakta seperti syurga dan neraka tidak mungkin dapat dibuktikan oleh sains sehingga berlakunya hari kiamat.

Sahabat beriman dan ta'at kepada perintah Nabi saw dalam apa-apa hal. Didalam beberapa hal, mereka akan bertanya Nabi saw. apakah ini perintah ataupun tidak. Keadaan sains pada zaman Nabi saw tidaklah begitu sofisikated atau kompleks seperti yang ada sekarang. kebanyakkan pengamalan ayat-ayat al-Quran berkisar dari segi Aqidah, Syariah, Akhlak, yang sesuai dengan perjuangan dimasa itu.

Sahabat-sahabat percaya bahawa wahyu Allah swt pasti benar. Mereka telah membaca bagaimana Nabi Noh as. membuat bahtera di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang dimana dari satu sudut menyalahi logik akal. Mereka menghayati kebenaran wahyu Nabi Ibrahim as. yang diarahkan untuk menyembelih anaknya, dan Allah mengantikan dengan kibas. Kesemua peristiwa ini dari satu sudut tidak boleh diterima akal, akan tetapi disebabkan ianya wahyu, mereka yakin bahawa ini adalah janji-janji Allah.

Begitu juga dengan peristiwa Isra' dan Mi'raj yang dilalui oleh Nabi saw, dibenarkan oleh sahabat terdekat, Abu Bakar ra. Tidak terlintas langsung untuk beliau bertanya mengenai bagaimana seorang manusia boleh bergerak dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa kemudian naik ke langit. Bagi para sahabat, apa yang dibawa oleh Nabi saw, mereka tidak mempersoalkan, kerana perkataan beliau juga bersumberkan wahyu.


وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى. إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى.

"Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. " [Surah al-Najm : 3-4].

Mereka cuma bertanya dalam ruang lingkup ilmu pada zaman itu. Sebagaimana kata Abu Zaar : ( لقد تركنا رسول الله صلى الله عليه وسلم وما يحرك طائر جناحيه في السماء إلا ذكر لنا منه علما ) "Rasulullah saw telah meninggalkan kita dimana tidak ada burung yang mengimbaskan sayapnya dilangit melainkan dia telah mengajar kita ilmu mengenainya" [Riwayat Imam Ahmad #20399, Majma' al-Zawaa'id, 8/263]. Ilmu agama telah lengkap, tidak ada satupun terlepas oleh Nabi saw,

Sains berkembang ikut perkembangan fikiran manusia, kerana ia merupakan satu ilmu yang belum lengkap, dan al-Quran pula telah lengkap semenjak ia di diturunkan. Sebenar, mengukur al-Quran melalui Sains merupakan idea-idea yang diasaskan oleh kaum orientalis dan para materialis. Bagi mereka, sains itu betul, agama tidak semestinya betul, dan ia perlu di buktikan.

Tidak semestinya semua yang didalam al-Quran itu boleh dibuktikan oleh sains, seperti syurga dan neraka. Malah, pengharaman memakan khinzir sekalipun tidak perlu dibuktikan oleh Sains. Sains mungkin membuktikan bahawa terdapat cacing2 yang berada didalam khinzir yang boleh membahayakan manusia, akan tetapi bagi kita orang Islam, ini merupakan perintah Allah swt. Cuma Allah swt sahaja yang tahu sebab pengharaman khinzir! Begitu juga wanita yang 'haram' digauli oleh kaum lelaki, tidak semestinya dia mempunyai unsur yang perlu dibuktikan oleh sains?!

Fethullah Gulen, seorang intektual Turki berkata : "Adalah salah jika kita menganggap sains lebih hebat daripada agama dan menggunakannya untuk menjustifikasikan isu-isu didalam Islam keseluruhannya melalui fakta sains moden. Percubaan begitu menunjukkan kita mempunyai keraguan mengenai Islam dan menunjukkan kita memerlukan sains menyakinkan kepercayaan kita."

Tambah beliau lagi : "Adalah salah juga menerima sains atau fakta sains sebagai absolute / qatie, kerana ia terdedah kepada perubahan. Paling kuat, mereka hanyalah membantu apa yang terlah diucapkan oleh al-Quran. Tidak ada tempat dibandingkan dengan al-Quran yang faktanya tidak menerima perubahan dan tetap untuk disahkan/dipastikan oleh perkara yang terdedah kepada perubahan dan bersifat sementara. Dengan ini, orang Islam hendaklah menggunakan sains hanya sebagai alat untuk mengejut minda yang sedang tidur atau bercelaru."

Kesimpulannya, pada zaman Nabi saw, suasana tidaklah sekompleks sekarang, termasuklah penemuan sainsnya. Sains sendiri merupakan satu ilmu yang berkembang dan sementara. Sains tidak boleh menjustifikasi kebenaran firman Allah swt. Sains cuma boleh menyokong kebenaran al-Quran. WA.

Sekian, wassalam


Fethullah Gulen. "When Modern Science Agrees with the Qur'an"
http://www.islamonline.net/English/Living_Shariah/QuranTheReminder/Quranicmiracles/2006/07/01.shtml

Zaghlool El-Naggar. "Scientific Facts Revealed in the Qur'an"
http://www.islamonline.net/english/Quran/2004/07/article12.shtml

0 comments:

Post a Comment