Jan 13, 2009

Hadis Fatimah Binti Qees r.a.

Salam

Dalam satu ceramah baru2 ni, saya ada mendengar satu hadis yg saya tidak dapat kemukakan matannya secara tepat, cuma saya nyatakan secara butiran yang dapat saya ingat. Penceramah ada menyatakan bahawa suatu ketika seorang sahabat wanita RA (tak ingat nama) datang berjumpa dengan Rasulullah SAW bertanya tentang 2 orang sahabat RA melamar beliau. Penceramah ada menyebut bernama Mu'awiyah dan Abu Huzaifah.

Rasulullah SAW menyatakan kepada wanita tersebut untuk menolak lamaran tersebut dan mengatakan Abu Huzaifah adalah seorang yang memukul perempuan dan Mu'awiyah pula saya tak berapa jelas tapi perkataan penceramah tersebut sesuatu yang tidak elok jugak tentang Mu'awiyah.

Saya jadi musykil, sebab ia melibatkan 2 orang sahabat besar, lebih2 lagi Mu'awiyah. Penceramah tersebut kemukakan hadis ini sebagai dalil bahawa harus untuk menyebut keburukan orang lain sekiranya untuk kebaikan dan maslahat umum.

Saya pohon penjelasan tentang hadis tersebut.

Saya mohon keampunan ALLAH kalau saya silap.
-----

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Kisah tersebut berlaku kepada wanita bernama Fatimah binti Qees r.a. yang telah diceraikan tiga talak oleh suaminya Abu Amr bin Hafs r.a. Kemudian, selepas habis eddahnya, beliau menceritakan kepada Nabi SAW bahawa beliau dipinangi oleh Muawiyah bin Abi Sufyan, dan Abu Jahm (Amir bin Huzaifah). Lalu baginda memberi nasihat kepadanya, dengan sabdanya:

"Adapun Muawiyah, dia seorang yang papa tidak berharta. Manakala Abu Jahm, dia seorang yang tidak melepaskan tongkatnya dari bahunya (sering memukul wanita). Kahwinlah dengan Usamah bin Zaid".

Kisah ini sahih, direkod dalam Sahih Muslim (no: 1480), dan lain-lain.

Pengajaran hadis ini:

- Seseorang yang diminta pandangan tentang seorang yang meminang, HARUS memperkatakan tentang peribadinya sekalipun dengan menyebut keaiban, jika ia satu maslahat, dan satu nasihat. Ia tidak termasuk dalam umpatan yang diharamkan.

- Seseorang yang diminta pandangan hendaklah bercakap benar, dan memberi nasihat dengan ikhlas.

Wallahu A'lam

0 comments:

Post a Comment