Jan 13, 2009

Hadis 19 Keistimewaan Wanita

19 Keistimewaan Wanita Menurut Hadis

1. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda , " Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah .Dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

4. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

5. Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak
Nabi Ismail.

6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

7. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

8. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

9. Daripada Aisyah r.a." Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

10. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutuplah
pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari mana-mana pun pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

11. Wanita yang taat pada suaminya, maka semua ikan-ikan di laut, burung di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga solat dan puasanya.

12. Aisyah r.a berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang lebih besar haknya terhadap wanita?" Jawab Rasulullah SAW "Suaminya." "Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah SAW, "Ibunya."

13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

14. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah SWT memasukkan dia ke dalam syurga terlebih dahulu daripada suaminya (10,000 tahun).

15. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya,maka beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah SWT mencatatkan baginya setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

17. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dari dosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu
tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.
-----

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Kami akan cuba bawakan teks asal kata-kata tersebut dalam Bahasa Arab, beserta sedikit ulasan setakat yg kami sempat temui.

Quote:

1. Doa wanita itu lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah SAW akan hal tersebut, jawab baginda , " Ibu lebih penyayang daripada bapa dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

Teks Arab:

هي أرحم من الأب ودعوة الرحم لا تسقط

Ulasan:
-al-Iraqi: Aku tidak menjumpai asal bagi hadis ini.
-Imam Subkiy juga menilai hadis ini sebagai hadis yang tidak didapati asal baginya. (Tabaqat Syafieyyah Kubra).

Quote:

2. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1000 lelaki yang soleh.

Kami tidak menjumpai teks yang tepat seperti ini. Yang ada ialah: "Kebaikan seorang wanita solehah sama seperti amalan 70 orang para siddiqin".

Teks Arab:

وبر المرأة الصالحة كعمل سبعين صديقا

Ulasan:
-Tidak didapati dalam kitab-kitab utama sunnah. Disebut dalam Kanzul Ummal (16/408): Diriwayatkan oleh Abu Syeikh (Al-Ashbahani) daripada Ibn Umar.

Quote:

3. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah .Dan orang yang takutkan Allah SWT akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

Teks Arab:

من أفرح أنثى فكأنما بكى من خشية الله ومن بكى من خشية الله حرم الله بدنه على النار

Ulasan:
- Tidak direkod dalam kitab-kitab hadis utama. Dibawakan oleh Abdul Rahman al-Sofuri dalam Nuzhatul Majalis, tanpa penjelasan sanad.

Quote:

4. Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku (Rasulullah SAW) di dalam syurga.

Teks Arab:

أيما امرأة قعدت على بيت أولادها فهي معي في الجنة

Ulasan:
- Dinilai dhaif oleh Albani dalam Silsilah Dhaifah (no: 2472)

Quote:

5. Barangsiapa membawa hadiah (barang makanan dari pasar ke rumah lalu diberikan kepada keluarganya) maka pahalanya seperti melakukan amalan bersedekah.Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki.

Teks Arab:

من حمل طرفة من السوق إلى عياله فكأنما حمل إليهم صدقة حتى يضعها فيهم وليبدأ بالإناث قبل الذكور

Ulasan:
- Direkod oleh Al-Kharaithi dalam Makarim al-Akhlaq, dan disebut oleh Al-Ghazali dalam Ihya Ulumiddin.
- Dinilai PALSU oleh Ibn Jauzi dalam kitab al-Maudhu'aat 2/276, dan Suyuti dalam 'Al-Laali al-Mashnu'ah' (himpunan hadis-hadis palsu) 2/150, dan dinukilkan penilaian Al-Hafiz al-Iraqi bahawa: Sanadnya Amat Dhaif.

Quote:
6. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.

Lafaz yang masyhur ialah:

الجنة تحت أقدام الأمهات

Lafaz ini tidak didapati dalam sumber-sumber utama hadis. Tetapi maknanya bertepatan dengan satu hadis lain iaitu:
Seorang lelaki mahu berperang, dan bertemu Nabi SAW meminta pandangannya. Baginda bertanya: "Adakah kamu mempunyai ibu?" Jawabnya: "Ya". Kata Nabi: "Lazimilah dia, kerana syurga di bawah kakinya". Direkod oleh Ahmad dalam Musnad (no: 15538) dan Nasai (no: 3104). Sanadnya dinilai sahih oleh Hakim (no: 2202).

Quote:
7. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka dengan penuh rasa takwa serta sikap bertanggungjawab, maka baginya adalah syurga.

Teks Arab:

من كان له ثلاث بنات أو ثلاث أخوات أو ابنتان أو أختان فأحسن صحبتهن واتقى الله فيهن فله الجنة

Ulasan:
- Direkod oleh Tirmizi (no: 1916) dan beliau menilainya DHAIF. Katanya: Hadis Gharib.

Quote:
8. Apabila memanggil akan dirimu dua orang ibu bapamu, maka jawablah panggilan ibumu terlebih dahulu.

Teks Arab:

وإذا دعاك أبواك فأجب أمك

Ulasan:
- Direkod oleh Dailami 1/282
- Dibawakan oleh Zahabi dalam Mizan 3/324, dan Ibn Hajar dalam Lisan 3/112 ketika menyebut biografi Sulaim bin Amru al-Ansari. Kata mereka berdua: ALi bin Ayyasy meriwayatkan daripadanya khabar yang batil.
- Disebut dalam Kasyful Khafa 2/68 dan al-Maqasid al-Hasanah m/s 462: Diriwayatkan oleh Ibn Mandah dalam Makrifah, dan al-Dailami.. Sanadnya Dhaif, tetapi ada syawahid.

Quote:
9. Daripada Aisyah r.a." Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada anak-anak perempuannya lalu dia berbuat baik kepada mereka, maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api neraka.

Teks Arab:

من ابتلي من هذه البنات بشيء كن له سترا من النار

Ulasan:
-Direkod oleh Bukhari (no: 1352) dan Muslim (no: 2629).

Quote:
13. Perempuan apabila sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, memelihara kehormatannya serta kepada suaminya, masuklah dia dari pintu syurga mana sahaja yang dikehendaki.

Teks Arab:

إذا صلت خمسها ، وصامت شهرها ، وأحصنت فرجها ، وأطاعت زوجها ؛ فتحت لها أبواب الجنة الثمانية ؛ تدخل من أيها شاءت

Ulasan:
- Direkod oleh Ibn Adiy 1/141, dan Dailami 4/234.
- Dinilai oleh Albani sebagai: Amat Dhaif. (Silsilah Dhaifah 10/36).

Quote:
16. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

Teks Arab :

المرأة في حملها إلى وضعها إلى فصالها كالمرابط في سبيل الله

Ulasan:
- Direkod oleh Thabarani (sebagaimana disebut dalam Majmak Zawaid 4/560), dan juga oleh Abu Nuaim dalam Hilyah 4/298.
- Terdapat perawi yang didhoifkan, dan yang tidak dikenali (Majmak Zawaid 4/560).

Quote:
18. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap satu
tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

19. Apabila semalaman seorang ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah SWT memberinya pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah SWT.

Teks Arab:
No (18) dan (19) adalah gabungan satu hadis, matannya ialah:

فإذا وضعت لم يخرج من لبنها جرعة ولم يمص من ثديها مصة إلا كان لها بكل جرعة وبكل مصة حسنة ، فان أسهرها ليلة كان لها مثل أجر سبعين رقبة تعتقهم في سبيل الله سلامة

Ulasan:
- Direkod oleh Abu Nuaim dalam Makrifah al-Sahabah, Thabarani dalam Mukjam Ausath.
- Dinilai PALSU oleh Ibn Jauzi dalam Maudhuuat 2/274, Suyuti dalam al-Laali 2/148, dan oleh Albani dalam Silisilah Dhaifah 5/76.

0 comments:

Post a Comment