Feb 3, 2009

Tidak Perlu Kepada Hadis Nabi SAW

Ada pihak yang mengatakan bahawa kita hanya perlu beramal dengan Al Quran dan tidak perlu kepada hadis Nabi SAW.

Adakah pendapat ini benar?

Jawapan:

Pendapat tersebut adalah pendapat dari golongan yang dikenali sebagai Anti Hadis. Apa yang benar ialah tiada siapa dapat memisahkan hadis daripada Al Quran kerana hadis adalah huraian kepada Al Quran. Ini jelas dalam firman ALLAH SWT :

Maksudnya: Dan kami turunkan kepadamu (Muhammad) Al Quran agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka[1].

Firman ALLAH SWT lagi:

Maksudnya : Dan sesiapa yang taat kepada Rasul, maka sesungguhnya dia telah taat kepada ALLAH, dan sesiapa yang berpaling, maka KAMI tidak utuskan engkau (wahai Muhammad) sebagai penjaga kepada mereka[2].

Seluruh kehidupan Rasulullah SAW adalah huraian kepada Al Quran bagi memudahkan umat manusia mengamalkan Islam dalam kehidupan mereka. Sepanjang hayat Baginda SAW menjelaskan kepada umat Islam agar mereka faham bagaimanakah mereka ingin memahami Al Quran seterusnya beramal dengannya dalam kehidupan seharian. Segala huraian ini dipanggil hadis atau sunnah. Menurut seorang pensyarah pengajian hadis di Universiti Jordan, Hammam Said:

Sedangkan daripada sudut sebagai sumber hukum, maka Al Quran menghalalkan dan sunnah juga menghalalkan. Al Quran mengharamkan dan sunnah juga mengharamkan. Al Quran menggalakkan dan sunnah juga menggalakkan. Al Quran mengharuskan dan sunnah juga mengharuskan. Maka sunnah (hadis) adalah sama seperti Al Quran dalam syariat dan sumber hukum-hakam[3].

Kita tidak akan dapat memahami Al Quran jika kita tidak mengambil hadis atau sunnah sebagai panduan. Kata Yusof al Qaradhawi[4]:

Sesungguhnya ibadah yang paling utama dan kefardhuan harian serta syiar yang besar dalam Islam iaitu solat, tidak disebutkan maklumat terperinci mengenainya di dalam Al Quran. Tidak disebutkan jumlahnya, waktu-waktunya, jumlah rakaatnya, cara mengerjakannya dan huraian tentang syarat-syarat dan rukun-rukunnya. Semuanya diketahui dengan sunnah[5].

Inilah yang menjadikannya amat penting kerana sebarang penambahan yang berlaku pada sumber kedua ini bermakna berlaku penambahan pada huraian Al Quran. Maka oleh sebab itu golongan yang jahat sejak zaman awal Islam telah berusaha mencipta hadis-hadis palsu bertujuan untuk mencemarkan kesucian Islam. Tetapi kita bersyukur kerana wujudnya segolongan ulama yang dikenali sebagai ulama hadis atau muhaddith yang sentiasa memastikan masyarakat dapat mengenali hadis-hadis yang sahih dan hadis-hadis yang tidak sahih (dhaif atau palsu).

Hadis-hadis sahih merupakan gambaran sebenar kepada kehidupan Rasulullah SAW. Golongan yang tidak mahu mengambil hadis sebagai sumber rujukan (Anti Hadis) sebenarnya telah melanggar perintah ALLAH di dalam Al Quran sendiri. Maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa orang-orang yang hanya ingin menggunakan Al Quran tanpa panduan hadis adalah golongan yang tidak memahami Al Quran. Mereka terpengaruh dengan pemikiran kebanyakan pemikir barat yang sentiasa inginkan umat Islam jauh daripada ajaran Islam. Semoga ALLAH melindungi umat Islam daripada terpengaruh dengan pemikiran yang merosakkan ini.

Di antara sumber yang memberi kita maklumat untuk menolak tuduhan golongan Anti Hadis ialah:

- 20 Hujah Anti Hadith Dan Jawapannya oleh Hafiz Firdaus Abdullah. (cetakan Jahabersa). Ini adalah buku yang begitu baik dalam menjawab tuduhan-tuduhan yang meragui kedudukan hadis sebagai sumber hukum.

- Al Sunnah Wa Makanatuha Fi al Tasyri’ oleh Mustofa al Sibaei. Buku ini telah pun diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Maksud tajuk buku ini ialah ‘Sunnah dan kedudukannya dalam perundangan Islam’. Mustofa al Sibaei telah lama berdebat dengan sarjana Barat yang menafikan maklumat-maklumat berkaitan hadis.

- Tulisan tentang anti hadis di dalam www.darulkautsar.com.

--------------------------------------------------------------------------------
[1]Surah an Nahl , ayat 44.

[2]Surah an Nisaa’ ayat 80.

[3]Al Tamhid Fi Ulum al Hadith – Hammam Said – muka surat 67 – cetakan keempat, tahun 2000 – Dar al Furqan

[4]Salah seorang tokoh ulama Islam yang terkenal pada masa ini. Menjawat beberapa jawatan penting antaranya Pengerusi Majlis Fatwa Eropah dan Pengerusi Persatuan Ulama Islam Sedunia. Pembaca digalakkan melayari laman webnya www.qaradawi.net.

[5]Madkhal Li Ma’rifati al Islam – Yusof al Qaradhawi – muka surat 299 – cetakan pertama tahun 2001 – Muassasah ar Risalah, Beirut.

0 comments:

Post a Comment