Dec 18, 2008

Pembelajaran Al Quran Secara Harfiah

Asalamualaikum,

Apa pandangan panel Alahkam ttg pembelajaran Al Quran secara harfiah? Minta komen sikit??
Jazakallah


وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************

Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudara Hasry yang mengemukakan soalan yang sangat baik itu . Sebelum kami memberikan komentar ke atas soalan saudara , sudilah kiranya kita sama-sama melihat beberapa perkara yang berkaitan dengan “ Harfiah “ itu sebagai mana berikut :

APAKAH “ HARFIAH “ ITU ?

Harfiah ( حرفية ) menurut erti asalnya ialah “ Huruf demi huruf “ .

Manakala Harfiah yang dimaskudkan di dalam perbincangan kita ini ialah : “ Satu sistem terjemahan Al-Quran ke dalam bahasa Ibunda yang berkonsepkan pemahaman satu lafaz demi satu lafaz ( lafziah ) dan ianya merupakan asas pertama sebelum melanjutkan pengajian ke bahagian yang lebih luas dan dalam iaitu Tafsir “ .

Jadi di sini Harfiah dan Lafziah ( لفظية ) TIDAK ADA BEZANYA . Dan ertinya , terjemahan secara ini adalah tangga pertama sebelum seseorang itu boleh menterjemah Al-Quran secara sistem mafhum ( kefahaman dan bahasa standard ) dan seterusnya melangkah ke alam pengajian Tafsir al-Quran Al-Karim .

Contoh terjemahan Al-Quran Al-Karim melalui sistem ini ialah :

Contoh Pertama :

بِسْمِ اللّهِ الرَّحْمـَنِ الرَّحِيمِ

ب : “ Dengan “ .
إسْمِ: “ Nama “
اللّهِ : “ Allah “
الرَّحْمـَنِ : “ Yang Maha Pemurah “
الرَّحِيمِ : “ Yang Maha Pengasih “ .


Contoh Kedua ( Ayat 2 Surah Al-Baqarah ) :

ذَلِكَ الْكِتَابُ لاَ رَيْبَ فِيهِ هُدًى لِّلْمُتَّقِينَ


ذَلِكَ : “ Itu “
الْكِتَابُ : “ Kitab “
لاَ : “ Tidak ada “
رَيْبَ : “ Keraguan “
فِيهِ : “ Di dalamnya “
هُدًى : “ Petunjuk “
لِ : “ Bagi “
الْمُتَّقِينَ: “ Orang-orang yang bertaqwa“.

Contoh Ketiga ( Ayat pertama daripada Surah Al-Kahf ) :

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجَا


الْحَمْد : “ Segala puja-puji “
لِ : “ Bagi “
اللّهِ : “ Allah “
الَّذِي : “ Yang “
أَنزَلَ : “ Telah menurunkan oleh Dia “
عَلَى: “ Ke Atas “
عَبْدِهِ : “ Hamba-Nya “
الْكِتَابَ : “ Kitab “
و : “ Dan “
َلَمْ : “ Tidak pernah “
يَجْعَل : “ Dia jadikan “
لَّهُ : “ Baginya “
عِوَجَا : “ Kebengkokan “ .


SEJARAH RINGKAS KELAHIRAN SISTEM TERJEMAHAN AL-QURAN ALA HARFIAH :

Sistem Terjemahan Al-Quran gaya Harfiah ini mula terkenal secara meluas di kalangan umat Islam Malaysia khasnya sekitar tahun 70’an ( dan sehingga sekarang ) . Ianya dipelopori oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hashim Abdul Ghani , selaku pengasas KTF ( Kursus Tertulis Al-Furqan ) dan guru di Madrasah Ittiba’ Is- Sunnah ( sekarang bernama Ma’ahad Ittiba’ As-Sunnah ) , Kuala Pilah , Negeri Sembilan D.K .

Sebenarnya sistem Harfiah ini bukanlah satu perkara yang baru kerana sebelum ini , Almarhum Maulana Muhammad Maa’dah Bin Layang telah pun memperkenalkan cara ini di pusat pengajiannya yang terkenal di Negeri Sembilan iaitu The High Islamic School ( Madrasah ‘Aliyah Islamiah ) di Pelangai , K. Pilah sekitar tahun 1939 – 1942 . Dikatakan bahawa The High Islamic School inilah merupakan ide awal ke arah penubuhan sebuah institusi tertinggi pengajian Islam di era tersebut .

Almarhum merupakan anak jati Tengkek , Kuala Pilah yang pernah menuntut di sebuah pusat pengajian tinggi Islam di Karachi . Dan apabila pulang ke tanah air setelah 10 tahun belajar di sana , beliau telah mengasaskan pusat pengajian tersebut demi mencelikkan masyarakat ke arah memahami Al-Quran Al-Karim dan As-Sunnah . Pusat ini merupakan satu sinonim kepada gerakan kemerdekaan dan gerakan tajdid ( pembaharuan ) , khasnya bagi masyarakat Negeri Sembilan D. K .

Di antara murid-murid beliau ialah Allahyarham Tuan Guru Hitam Taha , Tuan Guru Abdul Aziz Yunus ( bekas Ketua Ulama’ PAS N. S ) , Shamsiah Fakeh ( bekas pimpinan tertinggi PKM ) , dan Al-Fadhil Tuan Guru Hashim A. Ghani sendiri .

Sistem Pengajian Terjemahan Al-Quran gaya Harfiah ini mula mendapat “ nafas baru “ dan dimodenkan oleh Al-Fadhil Tuan Guru Hashim A. Ghani dengan diadakan sistem gaya pos dan kaset ( tidak ketinggalan juga secara talaqqi ~ “ menadah kitab “ depan tok guru ) di sekitar tahun 70’an . Ianya tercetus di fikiran beliau tatkala melihat dakyah Kristian yang disebarkan ketika itu di Singapura ialah dengan cara pos . Maka berkatalah hati beliau : “ Kalau orang-orang Kristian boleh cuba belajar kitab mereka dengan gaya pos ini, maka umat Islam lebih patut memahami Al-Quran dengan cara ini juga “ .

Hingga ke saat ini KTF Institut ( dan juga Ma’ahad Itibba’ As-Sunnah ) telah pun mencatat jumlah mereka yang mengikuti pelajaran ini hingga ke angka 20 ribu orang ( termasuk di seluruh Nusantara ) .

SISTEM PENGAJIANNYA :

Sistem ini amat baik bagi mereka yang ingin mempelajari terjemahan Al-Quran ( seterusnya kitab-kitab berbahasa Arab ) walaupun tidak pernah mendapat pendidikan bahasa Arab secara formal ( hanya disyaratkan boleh membaca Al-Quran ) , dan amat baik juga bagi mereka yang mendapat pendidikan Arab secara formal dalam rangka untuk lebih mengukuhkan lagi ilmu mereka .

Secara ringkasnya sistem ini boleh dibahagikan secara 3 bahagian :

( 1 ) - Sistem KTF ( Gaya Pos dan Kaset ) :

Melalui cara ini , setiap penuntut diwajibkan memiliki beberapa buah buku karangan Al-Fadhil pengasasnya seperti , “ Kursus Terjemahan Al-Quran “ dan “ Kamus Terjemahan Al-Quran “ . Di samping itu , disediakan juga beberapa keping kaset demi memantapkan lagi penguasaan seseorang penuntut itu .

Biasanya dengan sistem ini, seseorang penuntut yang tekun akan berjaya menguasai Ilmu Menterjemah Al-Quran Al-Karim dan boleh menterjemahnya 30 juz dalam jangka masa 2 tahun .

( 2 ) - Sistem Kursus Jangka Pendek :

Kursus Jangka Pendek biasanya diadakan di Ma’ahad Itibba’ As-Sunnah setiap cuti persekolahan hujung tahun dan biasanya ia memakan masa sebulan setengah hingga ke dua bulan . Ianya juga diadakan di beberapa buah tempat mengikut bilangan pesertanya .

Kursus ini merupakan kursus pengukuhan ( lanjutan ) kepada penuntut-penuntut yang telah pun mengikuti sistem pertama di atas . Dan di sekitar era 80’an dan awal 90’an telah tercatat jumlah peserta yang begitu ramai , khasnya daripada mahasiswa/I IPT , sama ada yang berasal daripada pengajian Islam ataupun tidak .

Dalam jangka masa tersebut , selain para peserta didedahkan dengan buku-buku kursus karangan Al-Fadhil pengasasnya , mereka turut sama didedahkan dengan beberapa buah lagi kitab yang berkaitan dengan ilmu ini seperti “ Kitab At-Tasrif “ ( oleh Almarhum Ustaz A. Hassan ) dan “ Matan Al-Ajrumiyyah “ ( kitab Nahu ) .

Biasanya , seseorang yang tekun mengikuti kursus ini akan berjaya menterjemah Al-Quran 30 juz kurang daripada tempoh satu setengah tahun .

Yang menariknya , semua ilmu-ilmu alat ( Nahu dan Saraf ) diajar secara mudah di dalam kursus ini iaitu di dalam B. Melayu dan diajar secara “ inti-pati “ sesuatu bab .

( 3 ) - Sistem Talaqqi ( Mengadap kitab dan berguru secara langsung ) :

Sistem ini hanya didedahkan kepada mereka yang menjadi penuntut Ma’ahad Itibba’ As-Sunnah ( MIS ) dan bagi mereka yang telah pun melepasi tahap-tahap sebelum ini . Apabila seseorang yang mengikuti KTF berdaftar sebagai seorang murid di MIS , bagi sekaligus dia mestilah mengikuti semua pengajian di Ma’ahad tersebut , sama ada yang berkaitan-rapat dengan selok-belok Ilmu Terjemahan Al-Quran ataupun Pengajian Islam ( Aqidah , Fiqh , Siroh dan sebagainya ) .

Melalui sistem ini , seseorang pelajar tidak lagi dibenarkan menterjemahkan Al-Quran ( dan kitab-kitab Arab ) secara “ Harfiah “ , bahkan mestilah menggunakan pula sistem “ Mafhum “ iaitu Sistem Terjemahan Secara Kefahaman Bahasa Melayu yang betul .

Selain itu , di tahap inilah , seseorang penuntut itu akan didedahkan dengan beberapa kitab seperti “ Mukhtasar Jiddan “ , “ Al-Kawakib Ad-Durriyah “ , “ Matan Bina’ Wa Asas “ , “ Matan Al-Ghizzi “ , “ Matan Al-Kailani “ dan “ Kitab At-Tasrif “ . Selain itu di dalam tahap inilah seseorang itu akan diperkenalkan pula dengan “ Ilmu I’irab Al-Quran “ dan juga “ Ilmu Al-Balaghah “ serta “ Ilmu Tafsir Al-Quran “ ( ‘Ulumul Quran dan Tafsir Al-Quran ) .

Selepas melepasi tahap tadi , seseorang itu akan meneruskan lagi pengajiannya secara mendalam menerusi kitab-kitab yang lebih besar lagi , termasuklah perbahasan-perbahasan nahu dan sorof berdasarkan kitab “ Syarah Matan Alfiah Ibnu Malik “ dan dilanjutkan juga pengajian tafsir Al-Quran dengan menggunakan “ Sofwatut Tafasir “oleh Syeikh Muhammad ‘Ali as-Sobuni ( ha ) dan “ Tafsir Al-Imam Ibnu Katsir ( rh ) “ .

Selain itu , beberapa kitab lain yang meliputi sebahagian besar ilmu-ilmu Islam turut diajar bagi setiap penuntut yang berada di tahap ini seperti kitab-kitab Aqidah yang ditulis oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiah ( rh ) , Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab ( rh ) , Syeikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairi ( rh ) , Syeikh Muhammad Jamil Zainu ( rh ) dan Syeikh Muhibuddin Al-Khatib ( rh ) . Selain itu kitab-kitab seperti “ Bulughul Maram “ , “ Fiqhus Sunnah “ , “ Al-Muwattho’ “ , “ Al-Burhan Fi ‘Ulumil Quran “ , “ Usul-Fiqh “ dan sebagainya turut sama diajar di peringkat “ Tsanawiyah ‘Aliyyah “ dan “ Qismul ‘Aliyyah “ .

Pencapaian seseorang yang mengikuti pengajian dengan sistem ini di dalam menguasai terjemahan Al-Quran secara Harfiah , ialah kurang daripada setahun . Namun begitu , terdapat beberapa orang pelajar yang berjaya menguasainya ( menterjemah Al-Quran 30 juz secara harfiah ) tidak lebih daripada 2 bulan setengah , bahkan ada yang dapat “ memecahkan rekod “ dengan menghabiskannya selama dua minggu ( melalui pengajian intensif peringkat tinggi ) .

Pada akhir tahun 1994 , Al-Fadhil Tuan Guru Hashim Abd. Ghani telah berjaya memperkenalkan peringkat asas sistem terjemahan Al-Quran ke dalam B. Inggeris ( Sistem Harfiah ) , dengan dibantu oleh Encik Abdul Hadi Bin Tuan Guru Hj. Abdul Malek “ Sawah Lebar” ( Lepasan USA ) . Kemudian sistem ini mula disebarkan kepada mereka yang mempunyai kemampuan di dalam B. Inggeris di MARA .

MIS juga tidak ketinggalan menjadi sasaran kajian beberapa orang mahasiswa/I IPT yang menyiapkan tesis-tesis mereka .


BIODATA RINGKAS PENGASASNYA :

Beliau ialah Tuan Guru Hj. Hashim Bin Hj. Abdul Ghani . Dilahirkan pada tahun 1927 dan kemudiannya mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Sg. Dua , K. Pilah . Kemudian beliau telah memasuki The High Islamic School di Pelangai , K. Pilah .

Selepas itu , beliau dan saudara-saudara angkatnya ( Shamsiah Fakeh dan adiknya ) telah menuntut di beberapa buah pondok pengajian agama di Negeri Perak Darul Ridzuan seperti Madrasah Al-Akhlaq Al-Islamiah , Masjid Tinggi , Bagan Serai . Selain itu beliau juga pernah menuntut di Ehya’ Ash-Shariff , Gunung Semanggol . Dan akhirnya beliau meneruskan pengajiannya sehingga tamat di Madrasah Al-Masyhur , P. Pinang sehingga tahun 1952 di samping mengikuti pengajian B. Inggeris di sebelah petang . Beliau juga pernah digelar sebagai “ pelajar terbaik “ di beberapa sekolah tersebut .

Beliau terlibat di dalam gerakan pro-kemerdekaan seperti API ( Angkatan Pemuda Insaf ) dan kemudiannya dengan UMNO pada tahun 1946 . Sejak tahun 1952 , beliau terus mengendalikan pentadbiran dan pengajian di Madrasah Ittiba’ Is Sunnah , K. Pilah apabila The High Islamic School ditutup .

Beliau juga turut aktif di dalam UMNO sebagai Setiausaha Bahagian dan Ketua Penerangan Bahagian Kuala Pilah pada tahun 1957 – 1978 dan pernah menjadi wakil peribadi bagi Menteri Kesihatan kawasan parlimen K. Pilah ( 1957 – 1974 ) .

Di dalam bidang penulisan pula , beliau pernah terlibat dengan PEN dan mengetuai PENSEL di N. Sembilan D.K. Selain itu , beliau juga bertugas sebagai pemberita di Berita Harian ( di bawah tunjuk-ajar Tan Sri Samad Ismail ) semenjak tahun 1957 – 1978 , tanpa meninggalkan tugasnya sebagai guru dan pentadbir di MIS .

Beliau dikenali sebagai seorang tokoh pendidik dan penulis yang gigih menyiarkan ilmu-ilmu agama sehingga di tangan beliau kini telah ada kira-kira 40 buah buku hasil penanya yang telah tercetak ( termasuk beberapa terjemahan kitab Arab yang beliau usahakannya ) . Di antara hasil penanya yang mendapat sambutan terbesar ialah “ Kursus Terjemahan Al-Quran “ , “ Kamus Terjemahan Al-Quran “ , “ Gelanggang Soal-Jawab “ , “ Bahaya Turun Dari Menara “ ( sanggahan terhadap Kassim Ahmad ) , “ Kata Berbalas “ ( sanggahan terhadap Nahmar Jamil ) , “ Gayung Bersambut I & II “ ( sanggahan terhadap mereka yang anti – Kaum Muda ) , “ Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam : Kaca Disangka Intan “ ( sanggahan terhadap Jemaah Al-Arqam ) , “ Filsafat Tafsir “ , “ Persoalan Jahiliyyah “ dan sebagainya .

Ketika beliau terlibat di dalam kemalangan pada tahun 1991 , beliau gigih mempelajari Perubatan Akupuntur Cina dan Herba ( sehingga beliau berjaya menghasilkan beberapa ubat-ubatan tradisional berasaskan Herba ) . Selain itu beliau juga turut gigih mengkaji beberapa buah “ kitab tua” ( bahkan ada yang mencecah ke usia melebihi 700 tahun ) yang membincangkan permasalahan perubatan dan anstronomi . Dan hingga ke saat ini , beliau masih terus mengendalikan pengajian di MIS dengan dibantu oleh beberapa orang ahli keluarganya dan anak-anak murid lamanya serta beliau masih lagi menerajui kepimpinan “ Keluarga As-Sunnah Malaysia “ .


SAMBUTAN MASYARAKAT NUSANTARA TERHADAP SISTEM INI :

Sepanjang sistem ini diperkenalkan , ianya mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada berbagai pihak . Bukan sahaja dari dalam negara , bahkan masyarakat Melayu Nusantara turut sama meyambutnya dengan baik .

Beberapa tokoh agama juga turut sama memberikan sambutan dan sokongan di atas usaha menyebarkan Terjemahan Al-Quran Sistem Harfiah ini , contohnya Al-Fadhil YB Ustaz Ahmad Awang ( ketika itu menjadi Pengarah Institut Dakwah Dan Latihan Islam – INDAH J.P.M ). Selain beliau , Almarhum Buya HAMKA , Pak Kiyai Junan Helmi Nasution ( Direktur Islamic Village , Tanggerang ) , Almarhum Syeikh Abu Bakar Ashaary ( Bekas Imam Besar Masjid ‘Alawiyah , Kangar dan bekas Ketua Dewan Ulama’ PAS Perlis serta salah-seorang tokoh reformasi tanah air ) , H.A Malik Ahmad ( Naib Presiden Muhammadiyah Indonesia ) dan Almarhum Ustaz A. Qadir Hassan Bandung ( Pemimpin Pesantren PERSIS Bangil ) turut sama memberikan sokongan di atas usaha mencelikkan masyarakat nusantara dengan Ilmu-Ilmu Al-Quran seperti Harfiah ini .

Sebagai mana telah dijelaskan di atas , sambutan terhadap sistem ini , khasnya daripada para pelajar di peringkat menengah dan IPT amatlah memberangsangkan . Tidak peliklah , setiap kali hujung tahun , selama 2 bulan diadakan Kursus Intensif ( jangka pendek ) di MIS .

Mereka yang mengikuti sistem ini nampaknya sudah ramai yang sudah melanjutkan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi lagi. Ada yang berjaya ke IPT seperti UIA , UM dan UKM . Ada pula yang ke Indonesia ( sama ada ke pesantren-pesantren ataupun IAIN ) . Ada pula yang melanjutkan pelajaran mereka ke Tanah Arab seperti di Kuwait, Mesir dan Sudan . Dan ada juga yang melanjutkan pengajian mereka ke India dan Paksitan .

BENARKAH SISTEM INI MENYEBABKAN SESEORANG ITU MENJADI WAHABI ? :

Terdapat desas-desus yang mengatakan demikian , apatah lagi apabila dikaitkan dengan pengasasnya yang mendokong aliran Kaum Muda di Malaysia . Namun sejauh manakah kebenarannya?.

Menurut penilaian kami , dakwaan ini tidak benar sama sekali . Sebab ramai juga yang menjadi “ Wahabi “ akan tetapi tidak pula disebabkan belajar Terjemahan Al-Quran sistem Harfiah . Begitu juga , terdapat juga sebahagian para pelajar yang mengikuti sistem ini secara sepenuh masa di MIS dalam jangka masa yang panjang , tidak pula mereka menjadi “ Wahabi “ sebagai mana dakwaan itu .

Namun kalau ada juga pihak yang “ berkeras “ untuk mengatakan bahawa sistem ini adalah penyebab utama seseorang itu menjadi “ Wahabi “ di Malaysia , maka sukalah kami menyatakan pendirian kami : “ KALAU BENARLAH BELAJAR TERJEMAHAN AL-QURAN SISTEM HARFIAH INI MENYEBABKAN KITA JADI WAHABI , MAKA LEBIH BAIKLAH BEGITU DARIPADA JADI SEORANG MUSLIM YANG HANYA RETI MELAGU-LAGUKAN AL-QURAN , AKAN TETAPI DAH 50 TAHUN SEMBAHYANG PUN , SURAH AL-FATIHAH PUN TIDAK DIKETAHUI PENGERTIANNYA !!! “ .

TIDAKKAH “ HARFIAH “ ITU SENDIRI DILARANG ? :

Ada pula pihak yang berhujah mengatakan bahawa menterjemah Al-Quran secara “ Harfiah “ adalah dilarang . Jadi , bagaimana sebenarnya kes seperti ini ? .

Jawapan Kami : Memang terdapat beberapa buah kitab ‘Ulumul Quran ( Usul At-Tafsir ) yang mengatakan demikian . Akan tetapi perlulah kita mengenal betul-betul , bahawa Sistem Terjemahan Al-Quran Sistem Harfiah anjuran KTF dan MIS ini sebenarnya adalah dengan sistem “ Lafziah “ ( Lafaz Demi Lafaz ) .

Tidak terdapat keterangan yang muktamad pun yang mengatakan bahawa Sistem Harfiah ( Lafziah ) seperti ini dilarang di dalam Islam .

Adapun “ Harfiah “ yang dilarang di dalam kitab-kitab tersebut ialah tafsiran secara “ Harfiah “ yang dilakukan oleh Kaum Tareqat-Tareqat Sesat dan Kaum Batiniyyah yang mengatakan ( sbg contohnya ) : Kalimah “ ALLAH “ itu , ALIF ialah Allah Ta’ala , LAM ialah Malaikat Jibril a.s , LAM ( kedua ) pula ialah Ladunni dan MIM ialah Muhammad s.a.w .

Walhal “ Harfiah “ yang dianjurkan oleh KTF Institut dan MIS tiada kaitan sama-sekali dengan golongan-golongan tersebut , malahan pengasasnya sendiri terkenal sebagai orang yang sangat anti kepada mana-mana kumpulan Batiniyyah seperti Taslim , Martabat Tujuh , Tareqat – Tareqat Falsafah dan Ajaran Solat Daim .

Sampai di sini sahaja yang dapat kami rekodkan di sini sebagai bahan rujukan dan penerangan bagi setiap umat Islam . Mudah-mudahan ada manfaatnya bagi seluruh umat Islam .

KESIMPULANNYA :

Sepanjang pengalaman dan pemerhatian kami terhadap Sistem Terjemahan Al-Quran ( Harfiah / Lafziah ) ini maka kami menyokong 100% usaha-usaha yang dilakukan oleh setiap umat Islam untuk menyebarkannya . Dan sukalah juga kami nyatakan bahawa mempelajari B. Arab dengan mengikuti sistem ini LEBIH BERKESAN DAN LEBIH MUDAH berbanding dengan cara mendahulukan cara mengahafal matan-matan tertentu ataupun secara mempelajari B. Arab Perbualan .

Kami berdoa agarAllah Ta’ala merahmati usaha pihak-pihak yang bertanggung-jawab menyebarkan pelajaran ini dan lebih memajukannya di masa yang akan datang , demi kemanfaatan umat Islam Nusantara khasnya . Amin Ya Rabbal ‘Alamin .

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

**************************************

RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 – KURSUS TERJEMAHAN AL-QURAN
Oleh : Hashim A. Ghani
Terbitan : KTF Institut , Kuala Pilah , N. Sembilan D.K .

2 – GAYUNG BERSAMBUT 2
Oleh : Hashim A . Ghani
Terbitan : KTF Institut , 31 , Wisma Sentosa , 72000 , K. Pilah


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

25 / Syawal / 1423 H
30 / Disember / 2002 M

Wassalam

Tambahan kepada jawapan Ustaz Pendekar:

Majlis Ulema Indonesia, yg dipengerusikan oleh Prof Dr HAMKA meluluskan cetakan terjemahan alQur'an secara harfiah untuk umat Islam Indonesia pada tanggal 19 Januari 1980.

3 comments:

al-mieezan said...

Assalamualaikum ww

Menarik kisah yang anda paparkan dan tepat sekali maklumat2.

Kami pewaris KTF mengucapkan Terima Kasih, dan kami masih lagi beroperasi.AMIN

KoleksiHadis said...

Assalaamu'alaikum warahmatullah..

Alhamdulillah.. bersama menyampai dan menyebarkan hadis di www.KoleksiHadisNabi.blogspot.com

Anonymous said...

nak belajar dah bagus, fokus pada alquran .tentang wahabi tu fikir la sendiri. dah faham alquran tak kan tak tahu dakwah apa yg patut di perjuangkan. tk ustaz Hashim sy pernah belajar dulu 1985. sangat berguna dalam hidup saya

Post a Comment