Jan 13, 2009

Hadis Sahih Tertolak

Salam,

Ana ada terbaca di dalam buku Soal-Jawab Agama oleh A.Hassan Bandung mengenai hadis (bukan matan penuh) "Tersiksanya mayat akibat tangisan org yg hidup..." Ianya dikatakan bertentangan dgn Al-Quran.

Soalan:
1. Apakah penerangan lanjut mengenai kes ini?
2. Bolehkah hadis sohih tertolak?
3. Sekiranya ya, berapa banyakkah lg hadis2 tertolak seperti ini?
_________________

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Quote:

1. Apakah penerangan lanjut mengenai kes ini?

Ada banyak bentuk penerangan salaf di dalam memahami kemusykilan hadis ini. Antaranya:

- Pandangan yg menilai riwayat ini adalah silap. Seperti pendapat Aisyah Ummul Mukminin, dan diikuti oleh Imam Syafie. Kerana itu apabila Aisyah r.a. mendengar hadis ini beliau berkata: "Tidak, Demi Allah. Rasulullah SAW tidak pernah berkata 'Seseorang mayat diazab dengan sebab tangisan seseorang'. Tetapi, baginda bersabda: "Sesungguhnya orang kafir ditambahi oleh Allah azabnya ketika tangisan keluarganya". (Muslim no: 929).

- Ada pandangan mengatakan: Mayat diazab jika dia mewasiatkan supaya diratapi pemergiannya sebagaimana perbuatan Jahiliyyah. Contohnya kata-kata Tarafah bin al-Abd (syair Jahiliy):"Apabila aku mati, ratapilah tentang kedudukanku". Imam Nawawi menisbahkan ini adalah pendapat jumhur dan beliau mensahihkan pendapat ini.

- Ada pandangan mengatakan: Jika adat kebiasaan masyarakat di situ ialah meraung-raung meratapi mayat, sedangkan si mati ini ketika hayatnya mampu mencegah kemungkaran itu tetapi dia tidak mencegahnya, maka apabila dia mati dia diazab kerana kecuaiannya mencegah mungkar tersebut.

- Ada pandangan mengatakan: Yang dimaksudkan dengan diazab disini bukanlah azab pembalasan. Yang dimaksudkan disini ialah: rasa terseksa atau sakit hati dengan sebab tangisan dan raungan kaum keluarganya. Kerana kalimah azab lebih umum dari kalimah iqab (seksa pembalasan), sepertimana disebut dalam hadis "Perjalanan musafir adalah satu cebisan daripada azab". HR Bukhari dan Muslim. Maksud azab di sini bukanlah azab seksaan atas satu perbuatan. Tetapi rasa kesakitan dan kepayahan.

Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Tabari, Qadhi Iyadh, dan Ibn Taimiyyah.

Ia disokong oleh satu hadis sahih iaitu ketika Abdullah bin Rawwahah pengsan, saudara perempuannya meratapi dan menyeru namanya dengan berkata: "Duhai pendokong, duhai pembantu, duhai pemberi pakaian". Apabila beliau sedar, beliau berkata kepada saudara perempuannya: Kamu tidak menyebut sesuatupun melainkan dikatakan kepadakau: "Benarkah kamu begitu??!!". (Bukhari no: 4019).

rujukan:
-Syarah Sahih Muslim Nawawi 6/228
-Fathul Bari 3/155

Quote:

2. Bolehkah hadis sohih tertolak?
3. Sekiranya ya, berapa banyakkah lg hadis2 tertolak seperti ini?

Hadis sahih sama sekali tidak boleh ditolak. Antara dasar utama dalam Islam ialah berpegang kepada Quran dan Sunnah. Kerana itu Ibn Syihab berkata: "Menolak hadis adalah lebih berat daripada memikul batu". (Al-Hadd al-Fashil m/s 567).

Cuma, perlu difahami bahawa hadis-hadis Nabi SAW dan athar2 adalah terlalu banyak. Tidak mungkin ada seseorang manusia mampu menguasai keseluruhannya. Maka dalam berhadapan dengan hadis-hadis yang musykil (bermasalah dari segi zahirnya), maka hendaklah dirujuk kajian para ulama secara satu persatu. Jika kita tidak menjumpainya atau tidak memahaminya, maka hendaklah kita tawaqquf (menagguh kefahaman tentangnya sehingga difahami), bukannya terus menolak hadis tersebut.

Mungkin dalam memahami perkara ini boleh dirujuk buku: Kaedah Memahami Hadis Musykil, karya Kapten Hafiz Firdaus.

Wallahu A'lam.

0 comments:

Post a Comment