Dec 18, 2008

Beramal Dengan Hadis Dhaif

Assalamualaikum wbt

Al-Fadhil Ustaz Zain ys ,

Saya telah membaca beberapa artikel di dalam web Al-Ahkam Net mengenai hadis-hadis dhaief ( lemah ) dan saya bersyukur kepada Ilahi kerana hadis-hadis itu dan juga hadis-hadis palsu dipaparkan kepada khalayak agar kita semua berhati-hati dengannya .

Tapi baru-baru ini ketika saya berbincang dengan rakan saya yang sama-sama bertugas di sini ( beliau sebagai seorang ustazah lepasan Fak. Pengajian Islam ) mengenai faedah-faedah yang saya telah dapati daripada web Al-Ahkam Net ini , tiba-tiba beliau menyatakan bahawa beliau tidak setuju hadis-hadis lemah itu ditolak 100 peratus.

Menurutnya hadis lemah bukanlah hadis palsu ( maudhu' ) dan bukan semua hadis lemah boleh ditolak sebab ada sebahagiannya yang benar isinya . Dan katanya lagi kebanyakan ulama' pun menerima juga sebahagian hadis-hadis yang lemah .

Saya masih tidak faham dengan kenyataan rakan saya itu .

Bagaimana sepatutnya sikap kita terhadap penggunaan hadis-hadis lemah ini dan bagaimana pula sikap para ustaz di Al-Ahkam Net di dalam menanggapi persoalan ini ? .

Saya berharap Al-Fadhil Ustaz Zain sudi menjawabnya memandangkan tuan adalah pengerusi dan pengendali utama web Al-Ahkam Net ini .

Saya mengalu-alukan juga jawapan dan respon daripada ketiga-tiga pengendali Ruangan SJ Feqh untuk membantu saya dan semua muslimin memahami isu ini .

Semoga Allah S.W.T membalas jasa baik tuan dan semua pengendali web ini .

Syukran Jazilan . Wassalam

Salam
Alhamdulillah, inilah jawapannya:

Terimakasih kerana memberi respond yang baik terhadap artikel-artikel yang tersiar di al-ahkam.net

--------------
Mengenai periwayatan dan penggunaan hadis2 dhaif, kita dapati pelbagai tanggapan oleh masyarakat mengenainya. Di mana tanggapan2 berkenaan tidak semestinya benar.

Kita tak akan bincang di sekitar tanggapan2 ini. Kita terus sahaja kepada maksud penulisan ini. Iaitu, boleh atau tidak beramal dengan hadis Dha'if?

Satu soalan yang ringan tapi cukup berat bagi saya untuk menjawabnya. Saya secara terus terang dan rasa rendah diri ingin menyatakan bahawa saya memang tidak mampu untuk menjawabnya.

Apa yang mampu lakukan untuk membantu saudari yang bertanya ialah dengan cara menukil perkataan2 dari para ulama kita mengenai hal ini. Mudahan2 kita semua beroleh manfaat dari ilmu2 mereka.

------------------------------
Al-Imam al-Nawawi ada menyebutkan:
Para ulama dari kalangan ahli Hadis, ahli Feqh dan selainnya berkata: Dibenarkan dan disukai beramal dengan hadis Dhaif dalam hal2 fadha'il serta targhib dan tarhib, selama hadis itu tidak berstatus maudhu' (palsu). (Al-Azkar, hal. 5)

Fadha'il bermaksud bermaksud hadis2 yang menyatakan kelebihan beramal. Targhib ialah hadis yang mengandung galakan untuk berbuat baik. Dan tarhib pula adalah yang mengandungi ancaman bagi mereka yang berbuat jahat dan maksiat.

Berdasarkan pendapat al-Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa beramal dengan hadis dha'if adalah dilarang kecuali:
1. Dalam hal2 fadha'il, targhib dan tarhib. Kebalikannya ialah, hadis dhaif tidak boleh digunakan sebagai hujah hukum.

2. Kedha'ifan hadis itu tidak sampai ke tahap maudhu'.

------------------------
Apabila al-Imam al-Nawawi mensyaratkan pengamalan hadis dha'if adalah yang tidak sampai ke taahap maudhu', maka kita tertanya2 apakah maksudnya? Apakah penafsirannya?

Catatan kaki di dalam al-Azkar ada menyebutkan:
"Perkataan al-Nawawi: (Selama hadis itu tidak berstatus maudhu'): Termasuk hadis yang terlalu dha'if. Maka tidak boleh beramal dengan hadis yg di dalamnya terdapat rawi yang pendusta atau tertuduh dusta. Dan, ada lagi dua syarat untuk beramal dengan hadis Dha'if, iaitu: Sesuatu amalan itu hendaklah mempunyai syahid yang lain (ada dasarnya dari nash lain yang sahih) seperti ia berada di bawah suatu nash yang umum atau di bawah satu kaedah umum. Ketika beramal dengan hadis ini hendaklah tidak di-Iktikadkan bahawa ia sabit (dari Rasulullah s.a.w.). Malah, hendaklah di-iktikadkan sebagai ihtiati (langkah berjaga2) sahaja." (ibid.)

--------------------
Ini bermakna berdasarkan kepada kenyataan al-Imam al-Nawawi dan dari catatan kaki dalam kitab al-Azkar, bahawa untuk beramal dengan hadis Dhaif bukanlah secara mutlak boleh beramal. Asal sahaja ada hadis dhaif yang berbentuk fadha'il amal, maka kita boleh terus beramal dengannya. Bukan begitu. Mahu beramal dengan hadis dhai'if ada syarat-syaratnya. Sebagaimana yg dinyatakan ada 4 syarat:
1. Hadis itu untuk fadha'il a'mal, targhib dan tarhib.
2. Hadis itu tidak terlalu dha'if dan tidak maudhu'.
3. Amalannya mestilah mempunyai dasarnya dari nash sahih yang lain yang umum atau ia berada di bawah kaedah yang umum.
4. Semasa beramal, hadis itu tidak di-iktikad-kan sabit dari Rasulullah s.a.w.. Malah ia hendaklah ber-iktikad untuk ihtiyati sahaja.

Jadi, adalah suatu tanggapan yang salah apabila kita berhadapan dengan hadis dha'if lalu kita mengatakan: "Tidak mengapa, ini hanya untuk fadhilat amal sahaja.." Tanpa kita memperhatikan syarat2nya.

--------------------------

Syeikh Yusof al-Qaradhawi telah menghuraikan mengenai masalah ini secara panjang lebar di dalam bukunya: Kaifa Nata'amalu Maas Sunnah.
Antaranya, beliau menyebutkan:
"… Al-Hafiz Ibnu Hajar menetapkan tiga persyaratan untuk dapat diterimanya periwayatan yang lemah (dhaif) dalam hadis-hadis raqa'iq dan targhib. Ketiga syarat itu disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadribur Rawi sebagai berikut:

Pertama (syarat ini disepakati oleh para ahli): Kelemahan tersebut tidak keterlaluan. Kerana itu, harus ditolak periwayatan tunggal dari orang-orang yang memang dikenal sebagai pembohong, atau yang dicurigai sebagai pembohong, ataupun yang dikenal hafalannya sangat tidak akurat.

Kedua: Makna hadis tersebut masih dapat digolongkan dalam suatu tema dasar umum yang diakui. Maka harus ditolak setiap hadis yang hanya dikarang begitu sahaja, dan tidak ada asalnya sama sekali.

Ketiga: Pada saat penerapannya, hendaknya tidak dipercayai sebagai hadis yang tak diragukan asalnya dari Nabi s.a.w. Agar tidak terjadi penisbahan suatu ucapan kepada baginda, sedangkan baginda tidak mengucapkannya. Jadi, hendaknya hadis tersebut dipercayai dengan sikap ihtiyath (berhati-hati). (Kaifa Nata'amalu Ma'as Sunnah (edisi terjemahan: Bagaimana Memahami Hadis Nabi s.a.w.), hal. 71)

Saya mencadangkan agar sesiapa yang mahu penjelasan lanjut dan panjang lebar tentang hal ini boleh membaca buku Kaifa Nataamalu Maas Sunnah, karya syeikh al-Qaradhawi.

Sekian, Wallahu a'lam

Wassalam

0 comments:

Post a Comment