Dec 18, 2008

Hadis Berkaitan Keimanan

kalau tak silap saya hadis mengatakan jika kamu berkuasa tegah lah dgn tangan sehinggalah , tegah dgn hati itulahlah selemah -lemah iman.sila pelengkapkan hadis ini.

zaman Nabi s.a.w , nabi sendiri saya rasa tak pernah menggunakan cara kasar utk menegur perbuatan jahat oleh penjahat yg melakukan keatasnya. Ianya banyak bersabar .

Berkhaitan hadis diatas kita disuruh menggunakan tangan utk menegah dsbgnya. Boleh tuan huraikan tentang hadis ini dalam keadaan bagaimana kita menggunakan nya.
sekian wassalam.
utk kefahaman saya yg tidak berilmu.

wa'alaikumusalam

Memang tidak silap lagi, bahawa hadith yang sdr ADN nyatakan diatas terdapat didalam Hadith 40, karangan Imam Nawawi (dan boleh didapati di al-ahkam : klik disini - Hadith 40 - Al-Ahkam ), iaitu hadith nombor 34.

Hadith no 34:

الحد يث الرابع والثلاثون
عن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه ، قال : سمعت رسول الله صلي الله عليه وسلم يقول : ( من رأى منكم منكرًا فلغيره بيده ، فإن لم يستطع فبلسانه ، فإن لم يستطع فبقلبه ، وذلك أضعـف الإيمان ).

رواه مسلم [ رقم : 49 ].

Dari Abi Sa'id Al-Khudri r.a. telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya (kekuasaan) jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya (secara lisan), dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya (merasakan tidak senang dan tidak setuju). Dan itu adalah selemah-lemah Iman".

Di riwayatkan oleh Imam Muslim [no:49]"

Definasi 'mencegah dengan tangan' bukanlah dengan erti-kata mencegah dengan menggunakan kekerasan. Tidak mungkin Nabi Muhammad saw melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang beliau sabdakan. Islam bukan agama Irhabiyyah atau 'terrorisme', iaitu dengan mengangkat martabat keganasan atau kekasaran sebagai darjat keiman tertingginya. Islam ada prinsipnya, perlaksaannya berdasarkan lunas-lunas yang dibenarkan oleh syara'. Sebagai contoh, Syaidina Abu Bakar memerangi orang-orang yang tidak membayar zakat semasa menjadi khalifah. Secara kasar ia menampakkan kekerasan, mungkin lebih baik beliau bersabar, tetapi sebenarnya ia berlaku diatas ketegasan beliau melaksanakan syariat Islam, iaitu kewajiban mengeluarkan zakat.

"Mencegah dengan tangan" didalam hadith ini merujuk kepada ertikata yang sangat luas. Pada umumnya ia menunjukkan applikasi atau penggunaan 'kuasa' disini, baik bidang kuasa pemerintah, bidang kuasa majikan, bidang kuasa ibu-bapa dan sebagainya. Contohnya :

1. Jika kita seorang majikan, dan kakitangan kita melakukan penyelewangan disana. Pencegahan dengan tangan disini ialah membawa/menangkap mereka terlibat kepada pihak berkuasa, seperti Polis. Jika menggunakan nasihat ataupun surat tunjuk sebab, ini merupakan satu jenis pencegahan dengan menggunakan 'lidah'

2. Jika negara kita diserang, maka 'pencegahan dengan tangan' disini membawa maksud mempertahankan agama dan negara dengan menggunakan senjata. Tak bolehlah nak bersabar sahaja, atau pun berdo'a mengharapkan Allah swt menurunkan pertolongan dari langit.

Berikut adalah contoh-contoh applikasi Hadith diatas:-
=====

a. Contoh penggunaan Hadith diatas dizaman para sahabat.

Dari syarah Sahih Muslim, oleh Imam Al-Nawawi.

Hadis ini dikatakan mempunyai beberapa perbezaan pendapat mengenainya. Dikatakan hadith dari kisah Marwan yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-khudri, dari hadith Nabi saw sebagaimana dari Sya'ba dan Sufyan. Salah satu jalan cerita penggunaan hadith ini ialah apabila seorang lelaki yang menegur Marwan membaca Khutbah Eid sebelum solat Eid. Dikata semasa Marwan hendak memulakan khutbah,

فقام إليه رجل فقال : الصلاة قبل الخطبة , فقال : قد ترك ما هنالك . فقال أبو سعيد : أما هذا فقد قضى ما عليه . سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من رأى منكم منكرا فليغيره بيده الحديث

"Berdiri seorang lelaki berkata : Solat sebelum Khutbah, dan berkata : Telah ditinggalkan apa yang ada disana. Kemudian Abu Said berkata : untuk perkara ini ia telah selesai keatasnya. Aku mendengar Nabi saw bersabda :"Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya - Al-hadith"

Imam Al-Nawawi didalam syarah sahih Muslim telah mengambil contoh berikut : “Apabila seseorang melihat orang lain membeli barangan yang rosak atau seumpamanya lalu dia tidak membantah dan memberitahu pembeli maka ini adalah kesalahan yang jelas. Diatas ulama telah menetapkan bahawa wajib sesiapa yang mengetahui perkara seperti ini membantah penjualnya dan memberitahu pembeli”

========

b. Pandangan pemikir Islam

Berkata Malik bin Nabi, bahawa ahli falsafah Al-Jazair apabila memberi ulasan mengenai hadith "Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya", mengatakan bahwa misi setiap orang Islam bukan sekadar menjadi penonton dan pengamal realiti sejarah, akan tetapi berperanan mengubah alur peristiwa dengan mengembalikannya kepada jalan kebaikan sebaik mungkin.(Tajdid Siyasi:72)


=======

c. Contoh penggunaan Hadith diatas oleh para ulama (eg: Sheikh Atiyah Saqr)

Soalan : Apakah peraturan agama jika seseorang menghadiri Parti syarikat koporat yang diaturkan kepadanya tanpa mengambil minuman keras yang disediakan didalam parti ini?

Jawapan oleh Sheikh Atiyah Saqr

Berkata ulama mengenai menghadiri parti, majlis, perkahwinan dan sebagainnya : jika terhadapnya kemungkaran didalam majlis tersebut, seperti meminum arak, wajib baginya menolaknya, seperti mana hadis : "Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia merubah/mencegah dengan tangannya jika ia tidak mampu, maka dengan lidahnya, dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah Iman". Jika kreteria majlis ini memenuhinya [kehendak hadith], maka wajiblah dia keluar dari tempat tersebut. Meninggalkan kehadiran adalah menzahirkan penolakan didalam hati, iaitu apa-apa bentuk kebencian terhadap kemungkaran dan usaha menggagalkannya, Maka jika dia duduk bersama mereka, dan dia membencinya, maka menurut pendapat sahih duduk bersama mereka adalah haram, maka jika ia tidak dapat meninggalkan tempat tersebut kerana takut, atau apa-apa sebab yang menjadikan alasan, maka jika dia duduk dan membencinya tanpa ada tanda-tanda ia meredhakannya, maka didalam syarah Imam Nawawi keatas Shahih Muslim Jilid 9, ms 234-236, dan khutbah Abi Sujaa', Jild 2, ms 239, diriwayatkan oleh Abu Daud bahawa Nabi saw bersabda "Jika seseorang melakukan dosa didunia dan saksi yang melihat membencinya, [seperti] sebagai ia tidak berada dengannya, dan barangsiapa yang tidak berada (hadir) dengannya diredhakan sebagaimana menyaksikannya."

===

d. Contoh applikasi larangan kemungkaran bahan berunsur pornografi oleh Lujnah Kajian Ilmiah dan fatwa Daimah Arab Saudi.
Lujnah fatwa Arab Saudi telah mengeluarkan 7 langkah-langkah pengharaman bahan tersebut iaitu:

1. Diharamkan menerbitkan majalah-majalah hina seperti ini baik majalah-majalah umum atau khusus dengan pakaian-pakaian wanita.

2. Diharamkan untuk bekerja di tempat penerbitan majalah-majalah ini dari segi manapun, baik tugasnya di bahagian pentadbirani atau redaksi atau percetakan atau pengedaran. Kerana perbuatan itu termasuk ke dalam menolong didalam perbuatan dosa dan kebatilan serta kerosakan.

3. Diharamkan mengiklankan majalah-majalah ini dan memasarkannya cara apa sekali pun, kerana perkara ini adalah petunjuk kepada kejahatan dan dakwahnya.

4. Diharamkan menjual majalah-majalah ini dan penghasilan yang didapatkan dari majalah ini adalah penghasilan yang haram.

5. Diharamkan kepada kaum muslimin untuk membeli majalah-majalah ini dan menyimpannya disebabkan karena di dalamnya terdapat dosa dan kemungkaran.

6. Seorang muslim wajib memejamkan matanya dari melihat majalah-majalah yang merosakkan demi ketaatan kepada Allah dan Rasulnya saw dan demi menjauhi bencana dan tempat-tempatnya

7. Barang siapa yang dipilih Allah menjadi pemimpin di negeri Islam manapun wajib memberikan nasihat kepada kaum muslimin dan menjauhkan mereka dari kerosakan dan perbuatannya dan menjauhkan mereka dari segala yang membahayakan mereka di dalam agama dan dunia mereka.

========

Dalam ertikata lain, penggunaan hadith ini sangat meluas didalam ruuang lingkup perbuatan 'amal kebaikan dan mencegah kemungkaran. Penggunaan 'tangan' disini mempunyai pengertian penggunaan bidang kuasa yang diberikan oleh seseorang didalam skop bidang kuasa yang diberikan seperti ulama, majlis fatwa, badan pencegah maksiat, ahli politik, ibu-bapa, masyarakat dan sebagainya.

wallahu'alam

-wassalam-

rujukan :

1. Syarah Sahih Muslim. Hadith Al-Harf.
2. Sheikh Atiyah Saqr. Fatwa IslamOnline. Menghadiri majlis yg ada minuman keras. url : http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=13186
3. Lujnah Kajian Ilmiah dan fatwa Daimah Arab Saudi. Fatwa pornografi.
4. Ustaz Mohd. Asri Zainul Abdin. Astora! Jangan Jual Agama.

1 comments:

Anonymous said...

saya sangat teruja

Post a Comment